Apabila anda merancang perjalanan yang jauh, lebih baik anda juga menyediakan jadual perjalanan agar semuanya berjalan lancar. Ajaklah keluarga merancang bersama-sama anda. Luangkan masa untuk mencari kafe atau menerokai sesuatu yang baru di sepanjang perjalanan anda. Pastikan perjalanan bersama keluarga tersayang menyeronokkan di samping dapat mengeratkan ikatan kekeluargaan sambil menghabiskan masa yang berkualiti bersama-sama!
Rancang laluan anda dan tempat-tempat menarik
Libatkan anak-anak dalam merancang perjalanan ke bandar-bandar yang akan dilawati termasuk juga tempat untuk bermalam. Muat turun aplikasi 'Waze' atau aplikasi navigasi lain dan jadikannya sebagai panduan arah perjalanan anda. Pilih tempat-tempat menarik, taman tema, restoran dan kedai untuk dikunjungi di sepanjang perjalanan supaya semua orang akan berasa teruja.
Periksa kereta anda
Hantar kereta untuk diservis, periksa tayar termasuk tayar ganti dan pastikan semua kerosakan dibaiki. Vakum dan bersihkan bahagian dalam kereta dan ruang but. Pasang pelindung matahari pada tingkap, sediakan bantal leher dan kusyen untuk keselesaan semasa dalam perjalanan.
Tempah penginapan dan tiket masuk lebih awal
Pastikan bilik hotel ditempah awal dan disahkan terutamanya pada musim cuti. Mohon untuk dapatkan bilik bersambung, katil tambahan dan bilik dilarang merokok semasa membuat tempahan. Jika melawat taman tema, belilah tiket melalui internet terlebih dahulu. Anda akan menikmati diskaun istimewa dan tidak perlu beratur panjang dan menunggu lama.
Bawa snek dan minuman sebagai bekal
Bawalah bekalan berkelah untuk dinikmati pada awal perjalanan anda! Makanan ringkas yang dibuat dari susu tin MARIGOLD seperti Pastri Kecil Ayam Lemon Berkrim, Roti Bakar Telur Berperisa Kopi, Lempeng Ubi Kentang dan Kacang Kuda memang enak dimakan pada suhu bilik. Anda juga boleh membawa jus sejuk atau ‘milkshake’ dalam botol pakai buang untuk melengkapkan hidangan lazat anda. Bawakan air secukupnya agar anda kekal terhidrat sepanjang perjalanan, terutamanya dalam cuaca panas.
Bijak mengemas pakaian untuk dibawa
Keadaan dalam kereta yang sesak membuatkan semua orang tidak selesa. Jadi bawa pakaian yang cukup di dalam beg masing-masing dan pastikan semua beg muat di dalam but. Jangan lupa untuk bawa bersama kasut ekstra, snek, minuman dan barangan kecemasan seperti kit pertolongan cemas, kabel pelompat dan lampu suluh. Pastikan pengecas dan ‘powerbank’ untuk peranti elektronik anda mudah dicapai dan letakannya di dalam beg yang berasingan.
Dapatkan rehat secukupnya
Hentian R&R adalah tempat untuk anda berehat setelah berada di dalam kereta selama beberapa jam. Ia adalah satu cara yang baik untuk mengatasi keletihan, malah semua orang dapat berjalan dan meluruskan kaki. Nikmati minuman dan makanan ringan, gunakan bilik tandas agar anda berasa segar untuk meneruskan perjalanan.
Perjalanan yang meriangkan
Elakkan rasa bosan dengan aktiviti seperti permainan bersama keluarga atau menyanyi. Jika anda ingin rasa lebih tenang, biarkan anak-anak mendengar muzik atau menonton filem menggunakan fon telinga mereka. Bawa beberapa barang mainan untuk si kecil agar mereka rasa gembira. Rakam gambar, cuba pelbagai makanan tempatan, beli barangan kraftangan tempatan dan nikmati perjalanan yang tidak dapat dilupakan bersama-sama keluarga tersayang!